SEJAK tiga tahun kebelakangan ini banyak diwar-warkan melalui berita mengenai dinar emas. Mungkin tidak ramai tahu bahawa dinar emas dan dirham perak adalah mata wang yang dikenali dan digunakan orang Islam sebagai mata wang syariat umat Islam. Dinar emas digunakan sebelum Islam, di Eropah, seterusnya digunakan pada zaman Rasulullah saw dan dimantapkan penggunaannya pada zaman pemerintahan Saidina Umar. Sejak itu, kedua-dua dinar dan dirham telah menjadi mata wang umat Islam di seluruh dunia.
Dinar emas dan dirham perak digunakan di gugusan Tanah Melayu iaitu sejak abad ke-14 dengan penggunaan kijang emas, kupang Kelantan dan Pattani antara abad ke-15 dan 16, Dinar Matahari Kelantan pada abad ke-18 seterusnya Dinar emas Sultan Abdul Jalil Shah III dan Dinar emas Kedah dalam abad ke-17 dan 18.
Pada 1850 Kijang Mas dicetak, sekeping duit emas daripada Kesultanan Kelantan ketika pemerintahan permaisuri Melayu, Che Siti Wan Kembang. Kepingan sampel dinar emas itu masih tersimpan dalam Muzium di Malaysia sebagai bukti bahawa bumi kita pernah menggunakan dinar emas dan dirham perak.
Penggunaan dinar emas juga banyak tercatat dalam kitab Kanun Melaka, terutama penggunaannya dalam perdagangan. Jadi, tepat sekali kalau kita katakan usaha mengembalikan dinar emas ini di Malaysia memanglah tepat kerana bumi ini mengikut sejarahnya pernah menggunakan dinar emas.
Malangnya penggunaan dinar emas berakhir dengan kejatuhan pemerintahan Khalifah Uthmaniyah di Turki dan melalui tipu helah dan dakyah barat, sistem kewangan berteraskan dinar-emas digantikan dengan sistem kewangan berteraskan wang kertas yang dicetak.
Perlu ditekankan dinar emas diperbuat mengikut timbangan berat 4.25 gram daripada emas 22 karat atau emas 916. Emas ini mengandungi 91.66 peratus emas tulen dan mengandungi bahan selain emas sebanyak 8.34 peratus. Emas tulen disebut emas 24 karat atau emas 99.9 atau mengandungi hampir 100 peratus ketulenan.
Manakala dirham perak dibuat mengikut timbangan berat bersamaan 3 gram perak sterling. Semua ukuran ini mengikut piawaian Khalifah Umar ibn Al-Khatab yang menetapkan nisbah perbezaan antara dinar dan dirham berdasarkan berat relatif kedua mata wang emas dan perak iaitu ‘7 dinar mestilah bersamaan dengan 10 dirham dalam ukuran berat’.
Apa yang membanggakan adalah hakikat di Tanah Melayu ini kita pernah menjalankan perdagangan dengan negara luar menggunakan dinar emas. Tamatnya penggunaan mata wang ini sebenarnya berpunca daripada proses manipulasi dan penjajahan.
Kita dapat lihat, apabila Jepun menjajah Tanah Melayu, mereka membawa bersama-sama wang Jepun atau juga dinamakan banana money.
British yang kembali ke Tanah Melayu selepas itu juga melakukan perkara yang sama. Masyarakat kita didedahkan dengan wang kertas pound sterling iaitu wang kertas British. Namun apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957 Bank Negara ditubuhkan pada 26 Januari 1959, maka bermulalah era mata wang baru iaitu dolar Malaysia sebelum ditukar menjadi ringgit Malaysia.
Mata wang kita diserang pada 1997 melalui pasaran saham dan perdagangan mata wang antarabangsa. George Soros seorang spekulator mata wang antarabangsa melalui konco-konconya dari dalam mahupun luar telah memperniaga dan memanipulasikan ringgit Malaysia sehinggakan ia susut nilai sebanyak 65 peratus dan pada waktu yang sama rupiah Indonesia susut nilai sebanyak 620 peratus.
Langkah tegas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad agar ringgit Malaysia ditambat kepada dolar Amerika Syarikat pada kadar RM3.8 bagi setiap dolar AS bagi melindungi mata wang kita terus dimanipulasi. Serentak itu juga semua mata wang RM500 dan RM1,000 di luar negara dikembalikan.
Perdagangan antarabangsa sangat memerlukan ketetapan kadar pertukaran wang. Dalam situasi sekarang kita dapati salah satu negara atau kedua-dua negara yang berdagang akan mengalami kerugian melalui pertukaran mata wang dan sekarang ini hampir 80 peratus perdagangan menggunakan mata wang dolar Amerika.
Kebergantungan kita kepada satu mata wang saja akan menguatkan lagi mata wang itu dan akan dengan sendirinya tidak menguntungkan sesiapa. Kebergantungan hanya kepada dolar Amerika sudah tentu membuka pintu manipulasi yang boleh membawa kepada banyak keburukan.
Kemelut ekonomi mungkin juga satu rahmat kepada umat Islam di Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya. Dr Mahathir menyarankan supaya masyarakat dunia amnya dan Asean khasnya mencari jalan untuk melepaskan kebergantungan kepada mata wang dolar Amerika dalam urus niaga.
Dinar emas diketengahkan dan diterima dengan baik oleh masyarakat dunia yang inginkan sistem perdagangan yang adil. Penerimaan dinar emas sebagai mata wang untuk perdagangan antarabangsa khasnya di kalangan negara Islam bukan sekadar omong kosong tetapi beliau sendiri mahukan supaya masyarakat memahami apa itu dinar emas.
Untuk itu masyarakat negara ini perlu jelas apa itu dinar emas dan dirham perak, tahu dari segi sejarahnya, tahu dari segi amalan keagamaannya seperti zakat, mas kahwin, simpanan, perdagangan cara Islam, pasaran bebas Islam yang membolehkan dinar emas digunakan.
Mereka juga perlu tahu mekanisme yang perlu diwujudkan bagi menjadikan kembalinya zaman penggunaan dinar emas ini suatu realiti di negara ini.
Apakah mekanisme yang perlu ada bagi melaksanakan sistem perdagangan antarabangsa, bagaimana memindahkan emas yang banyak dari satu tempat ke satu tempat dan sebagainya?
Sejauh manakah penyelidikan yang telah dijalankan di institusi pengajian tinggi tempatan? Kita yakin malah Dr Mahathir pernah menyatakan bahawa “Malaysia sudah menyediakan mekanisme berhubung dengan cadangannya supaya dinar emas dijadikan mata wang bagi perdagangan antarabangsa.” Malaysia telah diterima sebagai negara Islam contoh di kalangan dunia Islam yang menanti apa bakal kita lakukan berkaitan dinar emas.
Malaysia adalah negara yang mempopularkan usaha untuk mengembalikan dinar emas dan kita harus bersedia untuk menjadi pemimpin kepada masyarakat Islam dunia.
Sumber daripada Kumpulan Penyelidik UTM.
No comments:
Post a Comment