Nasz Gold Trading adalah syarikat persendirian berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan Nombor Pendaftaran : IP0358780-T. Pemilik syarikat merupakan Agen Berdaftar di bawah Syarikat Goldcrest Pavilion Sdn Bhd. Kod Agen adalah AD2848.

Modul Perniagaan adalah menjual dan membeli barang kemas, jongkong dan koin emas dan perak.

OnlineLahTauke! Bring Your Business Online!

Thursday, January 27, 2011

MALAYSIA SEDIA KEMBALIKAN KEGEMILANGAN DINAR EMAS


SEJAK tiga tahun kebelakangan ini banyak diwar-warkan melalui berita mengenai dinar emas. Mungkin tidak ramai tahu bahawa dinar emas dan dirham perak adalah mata wang yang dikenali dan digunakan orang Islam sebagai mata wang syariat umat Islam. Dinar emas digunakan sebelum Islam, di Eropah, seterusnya digunakan pada zaman Rasulullah saw dan dimantapkan penggunaannya pada zaman pemerintahan Saidina Umar. Sejak itu, kedua-dua dinar dan dirham telah menjadi mata wang umat Islam di seluruh dunia.
Dinar emas dan dirham perak digunakan di gugusan Tanah Melayu iaitu sejak abad ke-14 dengan penggunaan kijang emas, kupang Kelantan dan Pattani antara abad ke-15 dan 16, Dinar Matahari Kelantan pada abad ke-18 seterusnya Dinar emas Sultan Abdul Jalil Shah III dan Dinar emas Kedah dalam abad ke-17 dan 18.
Pada 1850 Kijang Mas dicetak, sekeping duit emas daripada Kesultanan Kelantan ketika pemerintahan permaisuri Melayu, Che Siti Wan Kembang. Kepingan sampel dinar emas itu masih tersimpan dalam Muzium di Malaysia sebagai bukti bahawa bumi kita pernah menggunakan dinar emas dan dirham perak.

Penggunaan dinar emas juga banyak tercatat dalam kitab Kanun Melaka, terutama penggunaannya dalam perdagangan. Jadi, tepat sekali kalau kita katakan usaha mengembalikan dinar emas ini di Malaysia memanglah tepat kerana bumi ini mengikut sejarahnya pernah menggunakan dinar emas.
Malangnya penggunaan dinar emas berakhir dengan kejatuhan pemerintahan Khalifah Uthmaniyah di Turki dan melalui tipu helah dan dakyah barat, sistem kewangan berteraskan dinar-emas digantikan dengan sistem kewangan berteraskan wang kertas yang dicetak.
Perlu ditekankan dinar emas diperbuat mengikut timbangan berat 4.25 gram daripada emas 22 karat atau emas 916. Emas ini mengandungi 91.66 peratus emas tulen dan mengandungi bahan selain emas sebanyak 8.34 peratus. Emas tulen disebut emas 24 karat atau emas 99.9 atau mengandungi hampir 100 peratus ketulenan.
Manakala dirham perak dibuat mengikut timbangan berat bersamaan 3 gram perak sterling. Semua ukuran ini mengikut piawaian Khalifah Umar ibn Al-Khatab yang menetapkan nisbah perbezaan antara dinar dan dirham berdasarkan berat relatif kedua mata wang emas dan perak iaitu ‘7 dinar mestilah bersamaan dengan 10 dirham dalam ukuran berat’.
Apa yang membanggakan adalah hakikat di Tanah Melayu ini kita pernah menjalankan perdagangan dengan negara luar menggunakan dinar emas. Tamatnya penggunaan mata wang ini sebenarnya berpunca daripada proses manipulasi dan penjajahan.
Kita dapat lihat, apabila Jepun menjajah Tanah Melayu, mereka membawa bersama-sama wang Jepun atau juga dinamakan banana money.

British yang kembali ke Tanah Melayu selepas itu juga melakukan perkara yang sama. Masyarakat kita didedahkan dengan wang kertas pound sterling iaitu wang kertas British. Namun apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957 Bank Negara ditubuhkan pada 26 Januari 1959, maka bermulalah era mata wang baru iaitu dolar Malaysia sebelum ditukar menjadi ringgit Malaysia.
Mata wang kita diserang pada 1997 melalui pasaran saham dan perdagangan mata wang antarabangsa. George Soros seorang spekulator mata wang antarabangsa melalui konco-konconya dari dalam mahupun luar telah memperniaga dan memanipulasikan ringgit Malaysia sehinggakan ia susut nilai sebanyak 65 peratus dan pada waktu yang sama rupiah Indonesia susut nilai sebanyak 620 peratus.
Langkah tegas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad agar ringgit Malaysia ditambat kepada dolar Amerika Syarikat pada kadar RM3.8 bagi setiap dolar AS bagi melindungi mata wang kita terus dimanipulasi. Serentak itu juga semua mata wang RM500 dan RM1,000 di luar negara dikembalikan.
Perdagangan antarabangsa sangat memerlukan ketetapan kadar pertukaran wang. Dalam situasi sekarang kita dapati salah satu negara atau kedua-dua negara yang berdagang akan mengalami kerugian melalui pertukaran mata wang dan sekarang ini hampir 80 peratus perdagangan menggunakan mata wang dolar Amerika.
Kebergantungan kita kepada satu mata wang saja akan menguatkan lagi mata wang itu dan akan dengan sendirinya tidak menguntungkan sesiapa. Kebergantungan hanya kepada dolar Amerika sudah tentu membuka pintu manipulasi yang boleh membawa kepada banyak keburukan.
Kemelut ekonomi mungkin juga satu rahmat kepada umat Islam di Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya. Dr Mahathir menyarankan supaya masyarakat dunia amnya dan Asean khasnya mencari jalan untuk melepaskan kebergantungan kepada mata wang dolar Amerika dalam urus niaga.

Dinar emas diketengahkan dan diterima dengan baik oleh masyarakat dunia yang inginkan sistem perdagangan yang adil. Penerimaan dinar emas sebagai mata wang untuk perdagangan antarabangsa khasnya di kalangan negara Islam bukan sekadar omong kosong tetapi beliau sendiri mahukan supaya masyarakat memahami apa itu dinar emas.
Untuk itu masyarakat negara ini perlu jelas apa itu dinar emas dan dirham perak, tahu dari segi sejarahnya, tahu dari segi amalan keagamaannya seperti zakat, mas kahwin, simpanan, perdagangan cara Islam, pasaran bebas Islam yang membolehkan dinar emas digunakan.

Mereka juga perlu tahu mekanisme yang perlu diwujudkan bagi menjadikan kembalinya zaman penggunaan dinar emas ini suatu realiti di negara ini.
Apakah mekanisme yang perlu ada bagi melaksanakan sistem perdagangan antarabangsa, bagaimana memindahkan emas yang banyak dari satu tempat ke satu tempat dan sebagainya?
Sejauh manakah penyelidikan yang telah dijalankan di institusi pengajian tinggi tempatan? Kita yakin malah Dr Mahathir pernah menyatakan bahawa “Malaysia sudah menyediakan mekanisme berhubung dengan cadangannya supaya dinar emas dijadikan mata wang bagi perdagangan antarabangsa.” Malaysia telah diterima sebagai negara Islam contoh di kalangan dunia Islam yang menanti apa bakal kita lakukan berkaitan dinar emas.
Malaysia adalah negara yang mempopularkan usaha untuk mengembalikan dinar emas dan kita harus bersedia untuk menjadi pemimpin kepada masyarakat Islam dunia.
Sumber daripada Kumpulan Penyelidik UTM.

PERKEMBANGAN DINAR EMAS DI MALAYSIA



Dalam usaha mengembalikan dinar emas, isu kepimpinan amat penting sekali.  Dinar Emas perlukan sokongan para sultan di Malaysia kerana merekalah penjaga agama Islam.  Kita tidak mahu kembalinya dinar emas ini bergantung kepada demokrasi atau kepada persetujuan ramai diundi sama ada untuk menggunakan dinar atau tidak.  Penggunaan dinar emas sebenarnya adalah hak umat Islam untuk melaksanakan tanggungjawab keagamaannya.  Sebab itu kita tidak boleh pilih untuk tidak menggunakannya.  Zakat harus digalakkan dibayar menggunakan dinar emas dan langah yang diambil oleh kerajaan Negeri Melaka harus dijejaki oleh semua kerajaan negeri yang lain di Malaysia.  Kekayaan umat Islam mesti dilindungi dengan ukuran kekayaan disandarkan kepada dinar emas.
Perkembangan dinar emas di rantau ini sungguh menggalakkan.  Di Indonesia, rakyatnya sangat mengharapkan dinar emas ini dikembalikan sebagai wang bagi menggantikan Dolar Amerika, kerana nilai Ruppiah terlalu volatile atau tidak stabil.  Keberkesanan usaha agak kurang berkesan kerana tidak ada pemimpin yang tampil menyuarakan hasrat ini.  Di Malaysia, pemimpin negara yang kehadapan menyuarakan hasrat untuk mencari alternatif kepada dolar Amerika dan seterusnya membebaskan kebergantungan kepada wang kertas.  Inilah kuasa yang ada pada pemimpin.

Mengembalikan penggunaan dinar emas memerlukan kepimpinan yang berbeza daripada kepimpinan yang ada dalam sistem kufar.   Amir atau Sultan bertanggungjawab ke atas atas tujuh perkara dalam agama kita iaitu menentukan tarikh dua raya (iaitu Ramahan, shawal dan Haji), menentukan timbangan berat dinar emas dan dirham perak, memastikan betul timbangan di pasar, pengutan dan pengedaran zakat dan menentukan Jihad.   Aktiviti kemasyarakatan yang lain adalah ditangan masyarakat itu sendiri dengan perundangan yang telah ditetapkan.  Penggunaan dinar emas adalah aktiviti masyarakat dan mereka seharusnya diberi kebebasan untuk menggunakan dinar untuk membayar zakat.  Dalam temubuah yang dikendalikan bersama Tan Sri Syed Mokhtar, seorang ahli perniagaan yang berjaya, beliau membangkitkan isu bahawa orang Melayu kurang berpesatuan jika dibandingkan dengan kaum lain.  Ini satu pemerhatian yang tepat.  Sedangkan kita tahu, umat Islam dahulu, memang banyak menjalankan aktiviti perdagangan mereka melalui persatuan (guild).  Pembuat kasut ada persatuan pembuat kasut, pembuat pasu ada persatuan pembuat pasu dan sebagainya.  Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa persatuan di negara kita yang berjaya seperti Persatuan Peladang Malaysia, Persatuan Anggota Polis dan sebagainya.  Mereka menjalankan aktiviti untuk kebajikan ahli mereka.
Dalam usaha menggunakan dinar emas, ianya tidak terikat kepada penggunaan diperingkat antarabangsa sahaja.  Masyarakat dari negara OIC memerhatikan apa yang kita lakukan terhadap penggunaan dinar emas ini.  Umat Islam di Malaysia seharusya membangunkan ekonomi baru ini dan menjualnya ke negara-negara OIC yang lain untuk turut dilaksanakan.  Dinar emas bukan bertujuan menggantikan matawang kertas negara tertentu tetapi sebagai pilihan untuk umat Islam menjalankan aktiviti perdagangan, simpanan dan perlaburan tanpa riba.  Ini sekurang-kurangnya membebaskan umat Islam daripada bahana riba yang diperangi Allah dan RasulNya.  Langkah pertama yang boleh dilakukan adalah usahasama antara dua persatuan untuk membuat pertukaran perkhidamatan dalam dinar emas.  Penggunaan ini terhad kepada dua persatuan sahaja.
Elemen pertama dalam mekanisma ini telahpun wujud di Malaysia iaitu watawang IGD itu sendiri yang kini dikeluarkan oleh Royal Mint Malaysia dan juga Islamic Mint Malaysia.  Persoalan yang sering diterima bagaimana boleh kita mendapatkan dinar ini.  Pihak pengusaha seharusnya menyediakan segala kemudahan bagi membolehkan masyarakat mendapatkan matawang ini.  Kini, IGDExchange Sdn Bhd telah membangunkan IGDExchange.com sebuah laman web yang ada menyediakan kemudahan pertukaran dan perolehan dinar emas melalui internet.  Infrastruktur pengeluaran dan pengedaran juga nampaknya telah mula berjalan di Malaysia.  Tugas seterusnya adalah untuk menggalakan masyarakat Malaysia memiliki IGD ini supaya menggunakannya sebagai simpanan, mas kawin dan sebagainya.  Jadi kita boleh katakan bahawa matlamat utama sekarang ini adalah supaya lebih ramai masyarakat Malaysia memiliki IGD.  Satu usaha murni yang di cadangkan oleh Datuk Shaykh Hj Nuh Gadot, mufti negeri Johor Darul Takzim dalam satu seminar di UTM pada 24 September, 2003 adalah supaya seisi rumah memiliki simpanan sebanyak 20 dinar emas supaya setelah cukup nisabnya, setengah dinar perlu dikeluarkan zakat.  Ini satu usaha yang harus di sokong kerana usaha ini telah melaksanakan dua tanggungkawab iaitu menunaikan zakat dan pada waktu yang sama memerangi riba.

Elemen kedua dalam meknisma utama ini adalah mewujudkan pasar di mana matawang IGD ini boleh di gunakan.  Sebaiknya ada pihak yang membangunkan pasar dan memperbanyakan wakala di mana wang ringgit boleh ditukar kepada IGD dan disebaliknya.  Pembayaran zakat dalam IGD amatlah baik, tetapi setelah penerima menerima bayaran dalam IGD dimana boleh ia digunakan atau boleh ditukar kepada wang ringgit.  Sekiranya tidak ada tempat pertukaran ini atau wakala maka amat sukar untuk dilaksanakan pembauaran zakat menggunakan matawang IGD.  Seterusnya perlulah juga ada kedai atau pasar di mana IGD ini boleh digunakan.
Menyebut tentang pasar, ada orang mengkelaskan pasar kepada ‘pasar Islam’ dan pasar konvensional.  Apa bezanya?  Sebenarnya tak ada ‘pasar Islam’, yang ada adalah pasar yang peraturan perjalanan urusniaganya mengikut sunnah Rasul s.a.w. dan apa yang telah diamalkan oleh komuniti umat Islam di Madinah.  Atau kita katakan perbezaan ketara antara pasar bebas Islam dengan pasar biasa yang ada sekarang adalah satu dibangunkan berteraskan konsep yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. yang perlu memenuhi empat syarat penting iaitu  pasar ini tidak dimiliki oleh sesiapa, tiada sewa dikenakan terhadap peniaga, tiada cukai dan tiada penyelewengan atau penipuan.  Prinsip asas ini mudah difahami tetapi perlukan prosedur yang tersusun rapi.  Sabda Rasulullah s.a.w bahawa,”Pasar mestilah mengikut sunnah seperti sebuah masjid – barang siapa yang mendapat tempat dahulu di pasar mempunyai hak terhadapnya sehingga dia meninggalkan pasar dan pulang setelah menyelesaikan perniagaan pada hari itu”.  (Al-Hindi, kanz al-‘Ummal, V, 488, n0 2688).
Keistimewaan yang sama antara pasar dan masjid adalah kebebasan untuk memilih tapak untuk berniaga.  Jika di masjid mereka yang datang awal akan mendapat tempat terbaik di dalam masjid sama ada di hadapan sekali atau pilihannya adalah untuk duduk di bawah kipas yang dingin.  Kebebasan hak inilah yang dimaksudkan.
Keduanya, tidak ada sesiapa yang boleh menempah ruang dan menguasaai ruang perniagaan itu sama seperti keadaan di masjid dengan tidak ada sesiapa yang boleh menempah saf pertama atau saf kedua atau hendak duduk betul-betul dibelakang imam.   Pasar tidak dimiliki sesiapa,
Ketiganya, tidak ada bayaran dikenakan sama seperti tidak perlu membayar untuk menunaikan sembahyang di masjid.  Bayaran disekitar pasar biasanya dikenakan bagi tujuan menyimpan barang atau menyewa stor barang.  Ini tidak termasuk kawasan pasar dan dilarang melakukan sebarang perdagangan dari tempat simpanan barang.
Keempatnya adalah tidak ada cukai.  Ini seiring dengan sebuah hadis,”Ini adalah pasar kamu, jangan dibenarkan apa juga bentuk cukai dikenakan ke atasnya”.
Pasar Islam menjamin peluang yang sama diberikan kepada semua peniaga, kegiatan perniagaan tidak dikaitkan dengan satu puak atau satu kaum, tiada ketua atau puak istimewa dalam pasar, tiada konsep majikan atau pemilik besar.  Ini memberikan takrifan apa yang dikatakan ‘pasar bebas’ yang sebenarnya, yang perlu dibentuk bagi kemajuan dan kesejahteraan umat Islam khasnya dan masyarakat umum amnya.  Ianya mestilah terbuka kepada semua masyarakat tidak kira agama tetapi mestilah mematuhi syarat yang ditetapkan.
Sistem mata wang hari ini terhasil daripada peristiwa pada akhir tahun 60-an apabila perjanjian Bretton Woods dibatalkan kerana AS mengalami muflis. AS telah mencetak terlalu banyak dolar dan mengeksport wang kertas mereka ke luar negara.
Pada 1968, Presiden Charles De Gaulle memberitahu Menteri Kewangannya bahawa Perancis tidak boleh lagi menerima inflasi yang dieksport dari AS, membenarkan dolar AS membanjiri Paris dan beberapa negara Eropah lain.

Pemimpin Perancis itu mengarahkan supaya semua dolar yang ada dalam negara itu dipulangkan balik kepada AS dan menukarkannya dengan emas. Maka berlakulah suatu keadaan di mana ramai berebut-rebut untuk mendapatkan emas dengan menukarkan wang kertas dolar AS.
Jika ini berlaku, patutkah kita masih mahu berpegang kepada wang kertas tanpa sandaran ini dan sudah pasti tidak ada siapa yang mahu ketinggalan, sebaliknya semua berebut untuk mendapatkan emas mereka. Dalam masa dua bulan, 60 peratus daripada emas dalam simpanan di Fort Knox AS lesap.
Seperti biasa AS mengambil jalan melanggar undang-undang kontrak iaitu menghukum mereka yang menukar dolar AS kepada emas. Mereka didakwa melanggar hak asasi manusia untuk memiliki emas atau komoditi yang berharga.
Selepas itu, bank pusat di seluruh dunia dilarang menukar dolar AS dengan emas. Seperti yang kita ketahui, pada 1969 De Gaulle dilucutkan jawatan dan diganti oleh Georges Pompidou dan dengan kerjasama Willi Brandt telah membentuk dasar pertama ke arah mewujudkan mata wang bagi Eropah iaitu euro.
Apa yang dilakukan oleh De Gaulle membawa kepada terhapusnya ikatan wang kertas dolar AS kepada emas pada 1971.
Selepas itu, dunia memasuki era mata wang apungan. Ini membuka ruang ekploitasi oleh negara besar dengan ekonomi yang besar terhadap negara kecil. Mereka mencetak kertas tanpa sandaran emas ditukar dengan kekayaan sebenar seperti minyak, rempah, kayu jati, gas dan sebagainya.
Tetapi jika kita ke negara mereka, ringgit kita dikatakan hanya sekeping kertas dan seringgit kita tidak boleh membeli setin Coca Cola di New York.
De Gaulle menyatakan bahawa keistimewaan dolar dan AS dalam mencetak wang kertas adalah sesuatu yang melampau. Robert Mundell, seorang pemenang Anugerah Nobel menyuarakan keperluan diwujudkan mata wang komoditi.
Profesor Deutche dari Jerman juga menyatakan bahawa ekonomi dunia kini memerlukan mata wang komoditi untuk mewujudkan suatu sistem ekonomi yang stabil dan mangsa yang terbaru yang kita tahu adalah Argentina.
Negara itu yang kaya dengan bahan mentah, tetapi telah mengikuti telunjuk Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan mengikat wangnya dengan dolar AS. Perhatikan bahawa ikatan kepada dolar AS pun tidak selamat walaupun dinasihati oleh IMF.
Emas adalah komoditi yang mempunyai makna yang jelas dan tetap. Ia sama seperti kita menetapkan ukuran timbangan berat kilogram. Satu kilogram tetap satu kilogram.
Jika ukuran timbangan kilogram ini berbeza di London, Bangkok dan Jakarta, sudah pasti kita akan menghadapi situasi yang kelam kabut.
Sudah pasti urusan perdagangan akan menjadi kucar kacir. Sekarang ini ada beratus-ratus mata wang dunia tetapi mengapa dunia membenarkan dolar AS mendominasi mata wang lain.
Urusan perhubungan dan perdagangan boleh dilakukan dalam masa 30 saat, tetapi jika kita menggunakan berpuluh-puluh jenis mata wang sudah pasti pertukaran pembayaran menjadi kelam kabut dan tidak praktikal.
Dunia memang mengharapkan satu mata wang dan pada hari ini mata wang itu adalah dolar AS. Walaupun banyak negara mahukan perubahan, sudah pasti AS dan konconya tidak mahu sebarang perubahan.

Namun, kita harus ingat dolar AS sebenarnya tidak akan mampu bertahan kerana ia tidak adil dan adalah wang janji hutang dan tidak boleh diterima.
Wang kertas bukan ayn (ada nilai intrinsik) tetapi dyn iaitu tidak mempunyai nilai intrinsik. Ingat! yang berkuasa tidak akan sentiasa berkuasa dan suatu hari kelak dolar AS akan menerima nasib sama dengan mata wang yang pernah dimanipulasi mereka.
Kekuatan sistem ekonomi dan kewangan mereka hanyalah ibarat kekuatan sarang labah-labah iaitu kekuatan yang hanya berasaskan kepada penggunaannya.
Mengikut hukum Islam, tidak ada barangan yang boleh dipaksa sebagai ‘satu-satunya mata wang’. Kita tidak boleh menetapkan satu komoditi saja sebagai mata wang.
Jadi manusia mempunyai kebebasan untuk memilih sebarang komoditi yang bernilai sebagai mata wang dan bukan mata wang yang dipaksa nilai ke atasnya.
Oleh itu apa yang diamalkan sekarang ini tidak mengikut hukum Islam dan umat Islam seharusnya memikirkan alternatif kepada penggunaan dolar AS dalam urusan perdagangan khasnya pada peringkat antarabangsa.
Dinar emas dan dirham perak bukan suatu ejen sistem kewangan, ia satu komoditi, iaitu emas dan perak. Malah, kita boleh katakan dinar adalah suatu komoditi sama seperti sekilo beras. Ia ada harga yang ditentukan oleh pasaran dan bukanlah suatu janji pembayaran seperti wang kertas.
Kita tidak seterusnya membenarkan kekayaan negara kita dimanipulasi dan dieksploit dengan pembayaran menggunakan mata wang kertas yang sentiasa susut nilai dan sentiasa kerugian dalam pertukaran wang asing.

Kita mesti beri keyakinan bahawa umat Islam akan bersatu menggunakan mata wang komoditi dinar emas dan dirham perak. Umat Islam di negara ini seharusnya berusaha untuk memiliki dinar emas – suatu kekayaan yang dipegang dan ada nilai sebenar.

Sumber Kumpulan Penyelidik di UTM.

Wednesday, January 26, 2011

PERAK PERKENAL DINAR DAN DIRHAM AKHIR BULAN DEPAN

IPOH: Kerajaan Perak akan memperkenalkan mata wang dinar emas dan dirham pada akhir bulan depan bertujuan mempelbagaikan bentuk simpanan kewangan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohamad Zahir Khalid berkata Perak sedang bekerjasama dengan Kuwait Finance House (KFH) untuk memperkenalkan dinar emas dan dirham kerana institusi kewangan itu berpengalaman luas dalam aspek pengendalian mata wang berkenaan.
"Apa yang pasti mata wang (dinar emas dan dirham) diperkenalkan Perak amat jauh berbeza dengan mata wang yang diperkenalkan Kelantan sebelum ini. Perbezaan itu akan dijelaskan oleh Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pihak pengurusan tertinggi KFH di sini hari ini.
Segala perincian, mekanisme serta bentuk mata wang berkenaan akan diumumkan pada pelancaran itu nanti, kata Mohamad Zahir.Dinar emas dan dirham itu akan dikeluarkan Goldnet International Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan kerjasama KFH (Malaysia) Sdn Bhd.
Pengerusi KFH Shaheen al Ghanem berharap hubungan yang terjalin termasuk dalam aspek nasihat kewangan serta sokongan dalam pengeluaran bantuan modal dengan kerajaan negeri dapat diteruskan pada masa depan.
"Kami juga sebenarnya dalam proses untuk melebarkan sayap perniagaan ke seluruh Malaysia dan sedang melihat kemungkinan mewujudkan cawangan di Ipoh pada masa terdekat kerana berpuas hati dengan inisiatif pembangunan yang ditunjukkan kerajaan negeri," katanya. - Sumber : BERNAMA